Tuesday 25 April 2017

Kajian: PAS bakal terima undi paling rendah, Umno tetap menang


PAS akan berada di tangga terakhir bilangan undi di kawasan majoriti Melayu sekiranya berlaku pertandingan 3 penjuru, menurut kaji selidik terkini oleh Invoke Malaysia.


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan sekiranya pertandingan 3 penjuru berlaku di kawasan majoriti Melayu pada pilihan raya umum ke-14, menurut kaji selidik membabitkan lebih 10,000 pengundi oleh Invoke Malaysia.
Dan parti pembangkang yang bakal mengalami kekalahan paling teruk ialah PAS, menurut hasil kajian badan sukarelawan yang ditubuhkan untuk membantu strategi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum.
Kajian selama 2 bulan Invoke itu menunjukkan calon Amanah, parti yang ditubuhkan beberapa bekas pemimpin PAS pada 2015, bakal mengatasi PAS walaupun kalah dalam pertandingan 3 penjuru.
Ini kerana undi bukan Melayu tidak akan memihak kepada parti Islam itu, yang kini bukan lagi sebahagian daripada gabungan pembangkang.
Hasil kajian yang didedahkan hari ini di sebalik amaran PAS akan bertanding di beberapa kerusi yang turut dipertandingkan Pakatan Harapan.
Semalam, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata kerusi DAP, PKR dan Amanah di Selangor “bebas” untuk dirampas parti itu jika tiada persetujuan pembahagian kerusi dicapai.

Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, sementara rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih tidak membuahkan hasil.
Amanah dan PPBM merupakan 2 parti berteraskan Melayu yang menganggotai Pakatan Harapan, yang turut menggabungkan DAP dan PKR. PAS bagaimanapun membuat keputusan tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan gabungan itu.
Penyelaras Invoke Rafizi Ramli, yang juga naib presiden PKR, berkata jumlah undi Amanah dijangka mengatasi PAS dengan kelebihan 3.6%
“Namun kelebihan tetap kepada Umno iaitu mendahului Amanah dan PAS, iaitu Umno mendapat 32.2%, Amanah 16.1% dan PAS hanya mendapat 12.5%,” katanya mengumumkan hasil kaji selidik itu hari ini.
Rafizi berkata, sebanyak 3.2% menyatakan tidak akan mengundi manakala kira-kira 20% tidak mahu menjawab. Hampir 16% pula belum membuat keputusan.
Kajian Invoke berjalan selama 2 bulan di antara 6 Februari dan 6 April tahun ini, di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Pengundi dipilih secara rawak oleh sistem kaji selidik berkomputer Invoke, di mana mereka ditanya melalui telefon.
Seramai 1.67 juta orang pengundi berdaftar ditelefon secara rawak dan daripada jumlah itu, 116,922 orang pengundi menjawab telefon. Bagaimanapun, 10,523 orang pengundi menjawab kesemua 40 soalan yang ditanya.
Disqus Comments