Thursday 14 September 2017

Harga Petrol, Diesel Akan Kekal Tinggi Sepanjang 2017


KUALA LUMPUR : Harga petrol dan diesel di negara ini akan terus kekal tinggi sepanjang tahun, dakwa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, harga itu akan kekal tinggi sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan.

“Saya telah menyatakan sejak 30 Disember 2016 bahawa harga RON95 akan kekal melebihi paras RM2.20 seliter pada empat lima bulan pertama 2017.

“Oleh sebab itulah, dalam kenyataan media saya pada Disember 2016, saya telah mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan harga siling bagi RON95 pada harga RM2 seliter dan sebarang kenaikan harga mengikut formula yang ditetapkan kerajaan melepasi RM2 seliter ditanggung melalui kaedah pemberian subsidi minyak,”katanya menerusi satu kenyataan.

Rafizi berkata, dalam keadaan kenaikan gaji yang lembap, kos sara hidup yang melambung dan kesan GST yang masih belum ditangani pentadbiran Najib, kenaikan yang berturut-turut itu merupakan satu beban kepada rakyat.

“Apatah lagi kerana kenaikan harga petrol dan diesel di Malaysia juga berpunca dari kejatuhan nilai Ringgit yang lebih teruk berbanding matawang lain, bukannya disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah semata-mata.

“Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik dalam beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 menjelang Jun 2017 sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan,”kata Rafizi.

Dalam masa yang sama, Rafizi turut menyeru rakyat Malaysia terus menyatakan bantahan menggunakan #20sen supaya tekanan yang berterusan dapat mengelak rakyat membayar harga RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017 kelak.
Disqus Comments