Friday 15 September 2017

Tutup Semua Sekolah Tahfiz Persendirian, Kata Bekas Menteri


Zainuddin Maidin berkata sekolah tahfiz tumbuh bagai cendawan tetapi dikelola oleh mereka yang tidak ada pendidikan selain agama.

PETALING JAYA: Bekas menteri penerangan hari ini mencadangkan kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz persendirian, susulan kematian pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di sebuah madrasah di Johor dipercayai selepas dipukul sehingga cedera.
Tan Sri Zainuddin Maidin berkata tindakan itu lebih berkesan daripada kenyataan simpati dan takziah oleh pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Perkembangan sekolah-sekolah tahfiz yang tumbuh seperti cendawan sejak akhir-akhir ini lebih banyak membawa aspek negatif kepada anak-anak Melayu Islam di negara ini. Ramai yang tidak lagi melalui pendidikan formal untuk jaminan masa depan mereka,” kata Zainuddin, yang juga dikenali sebagai Zam, dalam blognya.
“Perkembangan ini berlaku kerana fahaman agama yang sempit di kalangan ibu bapa. Mereka percaya dengan anak mereka menjadi hafiz maka mereka akan terlepas dari neraka terutama bagi ibu bapa yang melakukan dosa yang besar.”
Zam berkata apa yang menimpa Thaqif sepatutnya kesempatan kepada kerajaan untuk bertindak dengan “pantas dan tegas” menilai semula kewujudan sekolah agama dan tahfiz sama ada persendirian mahupun yang menerima bantuan kerajaan.
Semalam, negara digemparkan dengan kematian Thaqif, 11, yang dipotong kedua-dua kakinya, selepas dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden di Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor.
Thaqif yang mengalami pembekuan darah dijadualkan menjalani pembedahan memotong lengan kirinya. Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu meninggal dunia pada jam 2.06 petang.

Polis masih menahan pembantu warden yang terlibat untuk siasatan.
Kuno
Sebelum itu, Exco Johor mengenai hal ehwal agama, Abd Mutalip Abd Rahim dilaporkan berkata amalan memukul di sekolah tahfiz merupakan perkara biasa.
Mutalip juga berkata beliau dimaklumkan Thaqif berkemungkinan mempunyai sakit sedia ada yang menyebabkan kesan pukulan oleg warden menjadi parah.
Zam bagaimanapun menyelar kenyataan itu sebagai mencerminkan sikap “kuno”.
“Apa yang berlaku di sekolah tahfiz selama ini tidak diberikan perhatian oleh jabatan-jabatan agama negeri kerana dipercayai mereka juga sefahaman dengan Mutalip bahawa amalan merotan di sekolah-sekolah tahfiz di negeri ini adalah pekara biasa kerana bertujuan untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajar,” katanya.
Zam berkata pusat pengajian agama swasta dibelenggu masalah tenaga guru yang tidak terpelajar, dan hanya menerima pelajaran agama.
Menurutnya, sekolah tahfiz yang dibuka golongan ini memberikan pulangan kewangan yang besar.
“Jabatan-jabatan agama di seluruh negara tidak mengambil berat atau memantau perkembangan ini dengan sewajarnya kerana sentimen agama. Dengan kejadian ini Jabatan-jabatan agama tidak boleh membasuh tangan atau menafikan tanggungjawab.
“Walaupun ini merupakan suatu tragedi yang memalukan negara yang meletakkan kita setaraf dengan negara-negara Arab yang mundur, konservatif dan masih mengamalkan sistem kuno tetapi telah mendedahkan kepincangan dalam pengajaran tahfiz di negara ini yang memerlukan tindakan tegas dari pihak kerajaan,” tulis Zam.
Disqus Comments