Saturday 28 January 2017

Kepincangan anak syarikat Felda berlaku sejak 2012: Shahrir Samad


Pengerusi baharu Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengakui bahawa Felda kini menghadapi masalah aliran tunai tetapi ia tidak melibatkan wang peneroka.

Sebaliknya, ia berkaitan hasil pendapatan terdahulu yang dikumpulkan 1956 hingga sekarang.

“Kita memang ada masalah aliran tunai dan tidak ada siapa yang menafikan.

“Kalau tengok pada akaun kita yang diaudit, memang ada masalah dari segi kedudukan tunai,” katanya pada wawancara yang disiarkan di Mingguan Malaysia hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, peneroka tidak perlu bimbang dengan pendapatan kebun mereka kerana ia diuruskan oleh Felda, bukannya diuruskan oleh syarikat pelaburan Felda Investment Corporation (FIC).

Katanya, Felda juga tidak akan bankrap kerana masih memiliki aset pelaburan bernilai RM5.4 bilion dalam bentuk saham yang tersenarai.

“Macam mana hendak bankrap? Kita ada RM5.4 bilion dalam saham yang tersenarai. Kalau katakan kita cagar RM3 bilion kepada bank untuk mendapat pinjaman, kita masih ada RM2 bilion dan itu jumlah yang besar.

“Ini bukan harta peneroka, tetapi hasil daripada pelaburan yang dibuat dahulu. Tetapi peneroka tetap tidak akan bankrap,” katanya.

Mengulas mengenai kontroversi berkaitan tangkapan SPRM, Shahrir berkata, kepincangan yang berlaku sudah disedari di peringkat anak-anak syarikat Felda dari 2012, 2013, 2014 dan sampai sekarang.

“Kebanyakan anak syarikat yang terlibat dan dipersoalkan oleh SPRM adalah ditubuhkan pada 2014. Maknanya sudah lama.

“Penyiasatan SPRM pun sudah bermula lebih awal. Benda ini bukan suatu yang baharu sebenarnya.

“Ini hasil bermulanya siasatan audit oleh Ketua Audit Negara terhadap beberapa aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak syarikat Felda berdasarkan laporan tahunan Felda 2014,” katanya lagi.

Katanya, masalah yang timbul juga melibatkan projek perumahan generasi kedua di mana hanya 104 unit rumah telah siap berbanding sasaran 8,000 unit rumah yang sepatutnya siap.

“Daripada yang siap dibina 104 unit sedangkan 7,000 lebih unit lagi berada dalam berbagai-bagai tahap persiapan.

“Keseluruhannya, sasaran kita ialah 20,000 unit rumah. Kita belum sangat berjaya dan masalah itu harus diatasi,” katanya.

Selain itu, Shahrir turut mendedahkan beberapa aktiviti pelaburan yang telah menimbulkan masalah.

“Pada 2014, berbagai-bagai aktiviti baharu dilaksanakan umpamanya projek sturgeon, Felda Wellness, Global Settlers dan broadband yang telah menimbulkan masalah dan sedang disiasat.

“Perbelanjaan mungkin tidak ikut proses. Apabila diminta buat kajian mendalam, tetapi ditubuhkan juga syarikat dan dibuat perjanjian.

“Bajetnya RM100 juta tetapi dibelanjakan lebih daripada bajet dan itu sedang diuruskan,” katanya.
Disqus Comments