Sunday, 15 January 2017

Mengingkari Kewajipan Taat Pemerintah Boleh Mencacatkan Akidah - Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Hadis ‘Irbadh bin Sariyah,

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ فَقَالَ «أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا…

“Suatu hari Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam shalat bersama kami. Selesai shalat, beliau menghadap kami lalu memberikan peringatan yang sangat mendalam, membuat berlinangan air mata dan menggetarkan hati. Hingga ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, seakan-akan ini nasihat dari orang yang akan pergi. Lalu apakah yang engkau wasiatkan kepada kami?’. Beliau bersabda: ‘Aku wasiatkan kalian untuk bertaqwa kepada Allah, serta mendengar dan taat kepada pemimpin, walaupun dia adalah seorang hamba Habsyi…’” (riwayat Abu Daud 4607, dishahihkan Al Albani dalam Shahih Abi Dawud)

Wasiat pertama: Bertakwalah kepada Allah

Umum pengertian takwa adalah melakukan apa yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah SWT larang. Kesan daripada takwa akan menjadikan manusia tunduk, patuh, taat dan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Rangkap pertama perkataan Nabi SAW di dalam hadis yang masyhur di atas, “uushiikum bi taqwallaah” (aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah).

Wasiat pertama Nabi mengingatkan manusia akan tanggungjawab manusia terhadap Allah. Ayat Al-Quran juga ada menyebut “hablun minAllah wa hablun min an-naas” yang bermaksud hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Dalam rangkap pertama wasiat Nabi SAW baginda menjelaskan tentang hubungan dengan Allah.  Sebesar-besar hubungan dengan Allah SWT adalah takwa. Kemudian barulah datang perkara yang seterusnya iaitu hubungan dengan sesama makhluk. Dalam hubungan sesama makhluk, yang paling besar dan utama adalah hubungan dengan pemerintah.

Wasiat kedua: Dengarlah dan taatlah kepada pemerintah

Tugas pemerintah adalah mengatur dan menyusun kehidupan rakyat. Sebab itu setelah selesai berbicara tentang hubungan dengan Allah SWT, Nabi terus menyebut “was-sam’i wath-thaa’ah wa in ‘abdan habasyiyya” (dan dengarlah dan taatlah walaupun yang memerintah kalian adalah hamba abdi Habsyi).

Hamba abdi Habsyi adalah yang berasal dari Negara Habsyah (Ethiopia, Afrika) dan mereka berkulit hitam. Kebiasaan orang arab adalah berkulit putih. Jadi wasiat Nabi SAW, walaupun yang menjadi pemerintah itu adalah hamba abdi yang berkulit hitam yang bukan berasal dari kalangan mereka, tetap manusia wajib memberi ketaatan kepadanya setelah selesai hubungannya dengan Allah SWT.

Dari sini menunjukkan bahawasanya perkara-perkara berkaitan dengan pemerintahan dan kerajaan sebenarnya merupakan prinsip dasar daripada prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Ada orang berkata, tidak disebut perkara berkaitan taat kepada pemerintah di dalam rukun Islam. Ya benar ianya tiada. Bahkan rukun shalat, kewajipan bersikap amanah di dalam jual beli, rukun nikah kahwin juga tidak disebut di dalam rukun Islam dan rukun Iman. Namun perkara-perkara tersebut merupakan sebahagian daripada Islam, bahkan sebahagian ushul daripada prinsip Ahli sunnah wal Jama’ah.

Contohnya apabila orang pada hari ini mengharuskan perkahwinan sesama jantina, lelaki boleh berkahwin dengan lelaki. Adakah ini tidak melanggar prinsip dasar Islam?

Contoh lain adalah tentang kedudukan sahabat Nabi RA. Adakah ia disebut di dalam rukun Islam atau rukun Iman? Rukun Islam dan rukun Iman tidak menyebut nama sahabat Nabi seorang pun. Tetapi beriman akan kedudukan sahabat Nabi adalah perkara dan prinsip ushul/dasar daripada prinsip-prinsip Islam.

Barangsiapa yang merendahkan kedudukan sahabat Nabi RA boleh menyebabkan dia terkeluar daripada Islam. Apatah lagi kafir-mengkafirkan sedangkan menghina para sahabat pun turut dilarang. Sebab itu di dalam hal ini kita berbeza dengan golongan Syiah, di mana perbezaan antara Ahlus Sunnah dan Syiah adalah pada perkara dasar, yakni mereka mengkafirkan sebahagian besar sahabat Nabi RA. Tidak perlu kita berbicara atau mengkaji perbezaan-perbezaan yang lain, kerana apabila mereka mengkafirkan sahabat Nabi, maka cukup. Di situ sahaja telah ada pemisah antara kita dan mereka. Selesai. Namun hal ini tiada juga disebut di dalam rukun Islam.

Begitu juga dalam hal karamat al-auliyaa (keramat para wali). Keramat para wali memang ada dibicarakan di dalam Islam, bahkan dibicarakan secara khusus di dalam kitab-kitab akidah. Keramat dan keistimewaan Allah SWT anugerahkan kepada para wali yang bersesuaian dengan ciri-ciri yang Allah SWT tetapkan. Bukan tok wali yang kebanyakan kita labelkan, asal boleh terbang atau mengetahui hal-hal ghaib maka dianggapnya wali. Sampai ada orang pernah berkata “aku tidak mahu bersalam dengan orang itu kerana aku lihat tangannya serupa tangan syaitan.” Kasyaf apakah yang seperti itu? Ini satu perkara yang jelas penyelewengannya di dalam agama.

Antara contoh karamah yang Allah berikan kepada wali yang dibicarakan di dalam kitab aqidah, antaranya penggunaan masa mereka. Cuba fikirkan secara logik orang yang sangat kurus seperti Imam An-Nawawi (wafat 676h.), seorang yang sangat kurang makan dan tidak berkahwin kerana terlalu sibuk dengan ilmu, sepanjang hidupnya yang singkat beliau mampu menulis sekelian banyak kitab dengan tulisan tangannya, dengan hanya menggunakan dakwat celup. Al-Majmu’ karangannya merupakan antara kitab yang tersohor di dalam mazhab Asy-Syafi’i, dan banyak lagi kitab-kitab fiqh, kitab hadis, kitab berkenaan perawi hadis, dan banyak lagi tulisannya di dalam pelbagai bidang agama yang diulang cetak, disyarah dan diterjemah. Kalau kita fikir secara logik kelihatan ajaib sungguh, tidak sesuai jumlah kesemua kitab-kitab karangannya dengan dirinya yang wafat pada usia muda. Ini adalah satu karamah.

Para wali adalah orang-orang yang Allah pilih. Tidak perlu dipilih atau dilantik oleh mana-mana manusi, dan tidak ada kursus yang khas untuk menjadi wali. Sebab wali dipilih dan ditetapkan oleh Allah SWT. Allah menyebut ciri-ciri wali di dalam Al-Quran,

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang beriman dan selalu bertaqwa.” (surah Yunus : 62 – 63)

Barangsiapa yang memiliiki ciri-ciri ini maka dia adalah wali Allah, tidak perlu dia pandai berjalan di atas air. Perkara ini telah disebut oleh ulama terdahulu, antaranya Imam Al-Syafi’i rahimahullah,

لو رأيتم الرجل يمشي على الماء، أويطير في الهواء، فلا تعتدوا به ولا تغتروا به حتى تعرضوه على كتاب الله وسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Sekiranya kalian melihat seseorang berjalan di atas air atau terbang di udara maka janganlah mempercayainya dan tertipu dengannya sehingga kalian mengetahui bagaimana dia dalam mengikuti Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam.” (A’lamus Sunnah Al Manshurah, muka surat 193)

Ini menunjukkan cara penilaian wali adalah bertepatan atau tidak dengan sunnah Rasulullah SAW. Para wali ada yang dari kalangan para sahabat RA, di mana kesemua para sahabat adalah auliya (wali-wali Allah). Ada juga para wali dari kalangan para ulama, dan tidak terhad kepada itu sahaja.

Apa yang hendak saya sampaikan ini adalah perbincangan tentang karamah yang Allah SWT berikan kepada para wali tidak termasuk pun di dalam rukun Islam dan rukun Iman, tetapi ia termasuk dalam perkara ushul yakni prinsip dasar permasalahan akidah.

Begitu juga dalam prinsip al-wala wal bara (prinsip ketaatan dan berlepas diri). Ia tiada di dalam rukun Islam. Adakah al-wala wal bara di dalam rukun iman? Tidak ada. Tetapi al-wala wal bara merupakan satu ushul yang penting dalam prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Begitu juga dengan isu berkaitan pemerintahan, kerajaan dan pentadbiran. Cara para ulama Ahlus sunnah wal Jama’ah sejak zaman berzaman mereka meletakkan topik berkenaan dengan pemerintahan ini di dalam perbincangan ushul yakni dasar-dasar akidah.

Antara dalilnya adalah hadis yang disebutkan di awal tadi. Nabi mewasiatkan secara jelas agar bertakwa kepada Allah dan kemudian dengar dan taatlah kepada pemerintah walaupun yang memerintah adalah hamba Habsyi yang berkulit hitam. Ini menggambarkan bahawa hubungan dengan manusia yang paling utama kedudukannya adalah hubungan dengan pemerintah, dan ia merupakan satu urusan penting di dalam akidah.

Dan kerana itu juga para ulama memandang serius akan hal-hal yang berkaitan ketaatan kepada pemerintah, ianya adalah disebabkan dasar-dasar dan prinsip-prinsip akidah. Dan kerana ini juga setiap muslim harus berhati-hati dan menjaga urusannya terhadap pemerintah, bukan kerana faktor-faktor lain seperti ingin mendapatkan keuntungan duniawi atau takut haknya dirampas, tetapi sikap berhati-hati terhadap pemerintah yang dimiliki oleh setiap ahlus sunnah adalah agar tidak mencacatkan pegangan akidahnya.

Wallaahua’lam.
Disqus Comments