Sunday 19 February 2017

Jumlah penjawat awam 1.6 juta punca hasil negara turun kata menteri

   


JUMLAH penjawat awam yang sudah membengkak kepada angka 1.6 juta telah menyebabkan perbelanjaan kerajaan meningkat setiap tahun, sekaligus mengakibatkan penurunan hasil negara, dakwa Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Dakwanya, jumlah Penjawat Awam Malaysia adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi negara sekaligus menjadikan Malaysia memiliki nisbah penjawat awam paling besar di dalam dunia dengan kadar satu penjawat awam bagi setiap 19.37 orang (1 : 19.37) lapor Borneo Post.



"Ketika saya mula-mula menyertai kabinet, negara menghadapi pelbagai dilema, harga minyak yang tidak menentu telah menyebabkan hasil kerajaan menurun, ringgit menyusut, kos sara hidup tinggi, dan kontroversi politik, telah membuatkan tugas saya lebih mencabar.

"Satu daripada isu-isu yang kita mesti tangani ialah peningkatan kos operasi dan perbelanjaan kerajaan.

"Contohnya, kita mempunyai kira-kira 1.6 juta penjawat awam, yang mana merupakan nisbah kakitangan awam paling besar di dunia," kata Johari kepada The Oriental Daily pada 30 Januari.

Menurutnya, berdasarkan populasi terkini negara memiliki sebanyak 31 juta rakyat, nisbahnya adalah satu kakitangan awam berbanding 19.37 orang rakyat.

Berdasarkan kepada laporan-laporan, nisbah kakitangan kerajaan berbanding populasi negara di negara-negara lain seperti Singapura adalah 1 nisbah 71.4 orang, Indonesia (1 : 110), Korea (1 : 50), China (1 : 108), Jepun (1 : 128),  Rusia (1 : 84) dan United Kingdom (1 : 118).



"Dalam tahun 2003, bayaran kepada kakitangan awam berjumlah RM22 bilion, namun ia telah meningkat kepada RM74 bilion pada tahun 2016. Pada tahun 2003, bayaran pencen kepada penjawat awam ialah RM5.9 bilion, dan pada tahun 2016 jumlahnya melambung kepada RM19 bilion," dakwa beliau.

Menurut Johari lagi, dalam tahun-tahun akan datang, jumlah tersebut akan terus meningkatkan, akibatnya pendapatan negara akan terus menyusut.

"Lebih-lebih lagi, hasil-hasil daripada kelapa sawit dan industri gas asli, yang sebelum ini memberikan keuntungan sekitar RM65 bilion pada tahun 2014, telah jatuh merudum kepada RM30 bilion dalam tahun 2016," dakwanya.

Adik Perdana Menteri, Nazir Razak memuji tindakan Johari kerana membincangkan secara terbuka perkara ini yang disifatkan sebagai 'cabaran besar kepada negara'.

BACA — Penjawat Awam terlalu ramai bebankan negara kata Nazir Razak

Menurut laporan Borneo Post, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berpendapat perdana menteri harus menangani isu tersebut kerana ia merupakan kepentingan negara.

"Dalam jangka masa panjang, kita memerlukan pelabur-pelabur dan komuniti perniagaan untuk mengembangkan ekonomi kita. Kita juga memerlukan lebih banyak pelabur asing supaya sektor swasta menjadi majikan utama untuk negara di masa hadapan," katanya.


Read more: Milo Suam
Disqus Comments