Thursday, 20 April 2017

Kos sara Hidup di Malaysia Paling Rendah - Najib Razak



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam usaha kerajaan untuk membawa Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, isu kos sara hidup adalah tumpuan utama kerajaan. Banyak usaha yang telah kita lakukan bagi memastikan rakyat kurang dibebani kos sara hidup.

Antaranya, kawalan harga oleh pihak berkuasa, pembahagian BR1M, usaha perangi orang tengah dan sebagainya. Kerajaan percaya usaha-usaha ini sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila Malaysia dinilai sebagai bandar yang mempunyai kos sara hidup paling rendah di kalangan negara-negara ASEAN menurut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.
Kaji selidik ini membandingkan harga barangan dan perkhidmatan di 133 bandaraya seluruh dunia. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pengiktirafan tersebut tidak bermakna usaha kita meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai.

Malah, masih banyak lagi sedang dan akan kita lakukan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos barangan.

Kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan rakyat, melalui latihan dan pendidikan seperti TEKUN, TUKAR, TERAJU, SUPERB, MARA, Dana Usahawan Muda, e-Rezeki, Dana Mudahcara, TUKAR dan bermacam-macam. Dari segi pengawalan kos pula, kerajaan akan meneruskan Kedai Rakyat 1Malaysia, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia dan sebagainya.

Saya benar-benar mengharap program-program ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat kerana perkara inilah yang saya usahakan pada setiap hari sebagai Perdana Menteri.
Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Disqus Comments