Thursday 6 April 2017

Polis Minta Jangan Pukul Penjenayah atau Tindakan Akan Diambil



Polis menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan keterlaluan, termasuk mencederakan atau membebaskan individu yang disyaki melakukan jenayah yang mereka ditahan.



Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata orang ramai sebaliknya perlu menyerahkan individu yang disyaki itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

「Sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian yang membabitkan tindakan orang ramai yang menghukum atau mencederakan suspek, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka (orang ramai),」 katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasnan berkata, terdapat dua kes baru-baru ini yang mana orang ramai mencederakan suspek yang ditahan selepas disyaki melakukan jenayah.

Katanya, dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.30 pagi Ahad lalu, polis menerima maklumat seorang lelaki berumur 30-an cedera teruk di kepala dan berada dalam keadaan koma di Kampung Kubang Panjang, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada jam 5.24 petang hari sama.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati lelaki itu dicederakan selepas ditangkap oleh penduduk setempat kerana didakwa cuba mencuri.


Berikutan itu, katanya, empat lelaki  berumur antara 19 hingga 74 tahun ditahan dan direman sehingga Ahad ini kerana disyaki mencederakan serta menyebabkan kematian suspek yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hasnan berkata, dalam kejadian kedua pada jam 4.04 petang semalam, seorang lelaki berusia 69 tahun diugut dua lelaki berusia 20-an untuk mendapatkan wang tetapi mangsa menjerit dan orang ramai yang berada di tempat kejadian datang memberikan bantuan.

Katanya, orang ramai yang berada di situ menangkap dan mencederakan kedua-dua suspek sebelum melepaskan kedua-duanya tanpa diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan supaya siasatan dapat dijalankan.

Bagaimanapun, polis berjaya menangkap dua suspek itu dan direman sehingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Kesiksaan,」 katanya.


Disqus Comments