Tuesday, 13 June 2017

Biarlah Menjadi “Jagung”, Asalkan Jangan Jadi “Tempoyak” Basi, Makin Lama Makin Busuk



Apabila YB Datuk Abd Karim meminta Kerajaan Pusat menangguhkan dahulu perlaksanaan Cukai pelancongan dari diadakan di Sarawak dan terus disanggah oleh seorang menteri Pusat dengan mengatakan bahawa YB Datuk Abd Karim sebagai baru setahun jagung ianya amat mengejutkan.

Mungkin menteri tersebut rasa tercabar bila YB Datuk Abd Karim meminta kerajaan Pusat menghormati perjanjian MA63 maka ia dianggap bersikap sebagai samseng. Ini menunjukkan ada sedikit ‘PERANGAI BUDAK BUDAK’ yang terdapat di dalam minda menteri pusat tersebut.

Apa yang diutarakan oleh YB Datuk Abd Karim adalah perkara yang matang walaupun baru ‘setahun jagung’ jadi menteri Sarawak. Ini amat jelas kerana YB Datuk Abd Karim mahukan perbincangan lebih teliti tentang aliran kutipan cukai yang dijangka berjumlah 625 juta ringgit jika dilaksanakan. Apakah Sarawak akan menerima sejumlah peruntukan dari kutipan itu nanti?

Pada pandangan saya, mungkin YB Datuk Abd Karim yang baru ‘setahun jagung’ menjadi menteri Perlancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak ini sedang merancang untuk melonjakkan Sarawak dengan pelbagai projek pembangunan perlancongan di negeri ini.

Kita sedia maklum bahawa Sarawak masih kurang pembangunan infrastruktur pelancongan tidak seperti sahabat jiran kita di Sabah yang mempunyai tarikan pantai yang menarik, terumbu karang yang cantik, pulau – pulau yang indah serta hutan gunung hingga ke tanah tinggi yang mampu mengamit pelancong asing mahupun tempatan berwisata di sana.

YB Datuk Abd Karim mungkin dapat mengesan bahawa dengan adanya Pan Borneo nanti pantai –pantai sepanjang Teluk Melano hinggalah ke Lundu dapat dibangunkan dengan hotel-hotel bertaraf 5, 4, 3 bintang dan boleh menjadi seperti Port Dickson.

Malah dengan siapnya Pan Borneo nanti rangkaian ke destinasi pelancongan akan lebih pantas dan dekat. Bermakna Sibu, Bintulu, Miri, Kapit atau daerah lain bersedia untuk menyediakan pakej pelancongan yang lebih baik untuk menarik kehadiran pelancong.

Semua ini mungkin ada dalam kotak fikiran YB, namun bila tiba tiba pihak persekutuan mahu mengenakan cukai ini mungkin akan menyebabkan orang yang ingin datang ke Sarawak berfikir 2 atau 3 kali kerana akan berkira-kira untuk menginap di hotel yang mana kadarnya akan menjadi lebih tinggi akibat cukai tadi dan mereka mungkin akan memilih destinasi lain seperti Sabah. Perlu di ingat bila cukai dikenakan harga pasti akan lebih tinggi. KITA AKAN BAYAR LEBIH. Contoh yang jelas GST.

Oleh itu bila YB Datuk Karim memohon agar perbincangan perlu dibuat sebelum perlaksanaan maka ia pasti mengambil kira faktor-faktor yang boleh merencatkan pembangunan perlancongan Sarawak secara amnya. Sarawak perlu bersedia dahulu untuk memperkasakan pelancongan dan menjadi destinasi pilihan sehingga dikenali ramai.

Mengingatkan kembali untuk menghormati perjanjian MA63 bukan bermakna YB Datuk berlagak samseng. Apa guna nak jadi Samseng dalam team yang sama? Namun ia sebagai peringatan. Sebagai rakan sepersekutuan mutual respect itu perlu ada.

Putrajaya harus mengadakan perbincangan dengan Sabah dan Sarawak sebagai partnership sebelum melaksanakan apa yang mereka inginkan. Bila dingatkan soal partnership, maka dituduh mengungkit dan berlagak samseng. Ini tidak matang sama sekali.

Apakah semasa menteri pusat terbabit mahu melaksanakan cukai perlancongan dia hanya memikirkan oh apa yang ada di Sarawak ini, hotel 5 star pun ada berapa buah je, bukan macam KL, Penang dan JB.

Kesimpulannya saya tetap menyokong YB Datuk Karim untuk terus memperjuangkan pembangunan industri PERLANCONGAN SARAWAK dan menuntut hak yang adil jika cukai dikutip ia mesti diberikan semula kepada Sarawak untuk memperkasakan ekonomi pelancongan.

BIARLAH DATUK MENJADI JAGUNG, ASAL JANGAN MENJADI TEMPOYAK BASI YANG KONONNYA BANGGA ASALNYA DARI DURIAN, TAPI MAKIN LAMA MAKIN MEMBUSUK.
Disqus Comments