Thursday, 15 June 2017

Jangan Beli Dari Peniaga Yang Derhaka Kepada Allah, Dr. Rozaimi Kritik Ustaz Tuan Ibrahim



Semalam saya membaca komentar Ibnu Abdul Malek daripada facebooknya bersama dengan petikan ucapan Dr. Rozaimi Ramle (RORA), pakar hadis dengan 'capture' "Komentar tentang orang berlagak suci yang larang beli makanan dari orang yang tidak solat dan orang yang tidak menutup aurat."

Lebai akan membuat komen tentang petikan ucapan Dr Rozaimi 2 minit 29 saat tersebut dan untuk berlaku adil adalah lebih baik lebai sertakan video petikan berkenaan untuk pembaca membuat penilaian.


1.  Dr. Rozaimi berkata dia tak setuju dengan kenyataan daripada seorang ustaz "parti Islam jugak berlabel agama"
Ayat PARTI ISLAM JUGAK DAN BERLABEL AGAMA itu telah menunjukkan sikap sombong (tuduhan lebai) Dr. Rozaimi dalam memberikan komen. Adakah nabi ajar cara memberi komen begitu. Lebai nak tanya Dr. Rozaimi dan 'pentaksudnya' ada hadis nabi ajar kita komen rakan ustaz kita dengan cara macam tu?

2.  Dr Rozaimi berkata "Dia kata bila bulan puasa, jangan beli makanan daripada orang yang tak solat, jangan beli makanan daripada orang tak tutup aurat, sia-sia aje puasa, lebih kurang macam tu ayatnya".

Daripada ucapan Dr. Rozaimi menunjukkan dia sendiri pun tak tahu apa yang dinyatakan oleh ustaz berkenaan. Ini bermakna Dr Rozaimi sendiri ragu-ragu dalam membuat kritikan atas kenyataan ustaz berkenaan. Kalau hadis dah masuk PERAWI DAIF.

Bodoh kalau kita membuat kritikan kepada apa yang kita sendiri tak jelas tentang apa ucapan oleh seseorang yang kita kritik. Lagi bodoh kalau kita ada status doktor PHD.


Untuk makluman Dr. Rozaimi dan pentaksudnya ucapan Ustaz berkenaan ialah Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum Ramadan baru-baru ini. Saya sertakan petikan yang menjadi viral tersebut.



Ini adalah petikan daripada versi lain.



Ini pula adalah versi twitter.



Manakala yang ini adalah versi facebook.

Kenapa lebai memberi contoh banyak sangat versi? Untuk makluman Dr. Rozaimi dan pentaksudnya, banyak versi dan pelbagai sumber dengan ayat masih sama menujukkan ketepatan maksud. Kalau hadis ini dikategorikan sebagai HADIS MUTAWATIR.

3. Dr. Rozaimi berkata "Jangan macam tu, sampai bila kita nak rasa kita golongan suci. Adakah Islam mengajar kita melihat orang lain lebih rendah martabat daripada kita?"

Ini lebai rasa pelik, adakah kita menyokong orang yang taat kepada Allah dan tidak menyokong orang yang tak taat kepada Allah dikategorikan sebagai ORANG YANG RASA SUCI dan MERENDAH-RENDAHKAN MARTABAT ORANG LAIN?

Apa signifikan sokong kepada orang taat kepada Allah adalah merasa dirinya SUCI? dan merendahkan martabat orang lain? Lebai pening dengan justifikasi yang dibuat oleh pakar hadis Dr. Rozaimi.

Ok Najib Razak dikatakan menyeleweng wang rakyat 2.6 billion. Pimpinan yang kleptokrasi adalah pemimpin yang tak taat kepada ALlah s.w.t. Adakah kita tak sokong Najib Razak dan UMNO dikatakan kita rasa diri kita SUCI? dan kita merendah-rendahkan martabat Najib Razak? dan ini Islam tak ajar mengikut apa yang lebai faham daripada pakar hadis Dr Rozaimi berkata. Oleh itu kena sokong Najib dan UMNO...ekh..



Jika ada pimpinan UMNO Perlis yang jenis kleptokrasi misalnya, kita tak boleh tak sokong nanti kita akan dikatakan jenis suka menyuci diri dan merendahkan martabat orang lain. Ini Islam tak ajar mengikut kata Dr. Rozaimi. Jadi kita kena rapat dengan orang tak taat kepada Allah, kalau boleh bergambar sekali dengan mimik muka yang sangat ceria.

4. Dr. Rozaimi berkata "Nabi pernah makan makanan yang diberi oleh orang Yahudi di Khaibar, sehingga Nabi kena racun. Siapa lebih warak antara kita dengan Nabi?"

Ini hujah bodoh daripada Dr. Rozaimi. Kenapa lebai kata bodoh (maaf kasar sikit). Sebelum kita berhujah kita kena tahu suasana peristiwa yang berlaku dengan pemberian makanan oleh Yahudi.

Hadis Sahih Bukhari 4, Buku 53, Nombor 394:
Dikisahkan oleh Abu Hurairah:
Dari Abu Hurairah r.a., katanya : "Ketika Khaibar dikalahkan, sup domba beracun disajikan kepada Nabi (SAW) sebagai hadiah (dari orang2 Yahudi). Nabi memerintah,”Kumpulkan semua orang Yahudi yang ada di sini, berdiri di hadapanku.” Orang2 Yahudi dikumpulkan...

Kenapa Dr. Rozaimi tak boleh nak beza dengan pemberian dan pembelian. Kalau jiran rumah kita memang kita tahu dia tak solat memberikan makanan untuk kita. Tak ada alasan untuk kita tolak. Lebai rasa Dr. Rozaimi kena faham apa yang Tuan Ibrahim hendak sampaikan.

Ini bukan soal warak dan tak warak antara kita dengan Nabi. Hujah Dr. Rozaimi sangat meleset. Tuan Ibrahim memberikan kita maksud untuk berwaspada. Itu maksud tersirat yang mungkin Dr. Rozaimi dan pentaksudnya tak faham.

Apa perkara tersirat daripada kenyataan Tuan Ibrahim jangan beli daripada tangan orang derhaka kepada Allah Taala?

Untuk makluman Dr. Rozaimi dan pengikutnya, orang yang tak taat kepada ALlah taala, mereka ini mungkin boleh melakukan perkara diluar pemikiran kita. Misalnya membeli barangan-barangan yang tidak disah betul-betul halal, kerana dia tak kisah daging daripada sumber mana berbeza dengan orang yang tat kepada ALlah taala mereka akan berhati-hati dengan sumber makanan dan minuman jualan mereka.

Islam memang tidak mengajar kita menyiasat daripada mana mereka (penjual) ini beli barangan tetapi cuba mengelak membeli daripada orang yang tak taat kepada Allah itu adalah sikap berhati-hati. Ini dipanggil WARAK!

Lebai sendiri pernah makan kuih diwarung setiap petang dengan kawan-kawan. Satu hari lebai minta ais kebetulan tak ada dalam 'box ais'. Tokei warung itu suruh lebai ambil dalam peti ais dalam rumahnya (warung itu disambung dengan rumahnya). Bila lebai buka peti ais, terkejut lebai melihat beberapa minuman tin "carlsberg" dan "tiger" dalam peti ais tersebut.

Itu kali terakhir, lebai makan kuih di warung tersebut. Kawan-kawan tanya kenapa tak datang. Lebai ceritakan apa yang berlaku. Kawan-kawan kata apa kaitan kuih dengan tokei minum carlsberg? Kalau dia tak kisah haram, halal adakah dia ini kisah makanan dia nak buat untuk kita makan itu halal atau haram? Terdiam... akhirnya kawan-kawan semuanya tak pergi juga ke warung itu. Untuk makluman Dr. Rozaimi lebai adalah dikategorikan WARAK. Ini bukan soal lebai nak banding siapa lebih warak antara lebai dengan Nabi. Tapi lebai jaga diri lebai daripada perkara yang mungkin bersubahat.

5.  Dr. Rozaimi berkata apa perasaan jika ada ibubapa diantara kita yang tak tutup aurat membaca statement ustaz ini? Dr. Rozaimi membuat kenyataan bersifat negetif.

Kalau dia baca lagi bagus, pertama biar dia sedar itu adalah kesalahan kerana melawan peraturan Allah s.w.t. Lawan Allah ini sangat besar dosanya. Mereka kena bertaubat.

Kedua biar mereka tahu bahawa ada golongan yang warak tak akan makan makanan yang dijual oleh mereka yang derhaka kepada Allah s.w.t. Semoga ini memberikan kesedaran kepada mereka yang ada mentaliti kebendaan rasa tergugat kebendaan mereka. Lihat artis sekarang pakai tudung? Berapa orang atas kesedaran dan berapa orang yang pakai kerana jaga periuk nasi? Sekurang-kurangnya mereka pakai tudung... mereka tak berdosa kita pun terhindar dosa mata.

Edaran petikan kenyataan Tuan Ibrahim itu membantu dakwah. Takkan kita kena pergi beli kerana nak memberi nasihat. Kenapa Dr. Rozaimi tak boleh berfikir diluar kotak?

6. Dr. Rozaimi kata "kenapa nak boikot mereka? "

Siapa yang suruh boikot. Nampak sangat kecelaruan Dr. Rozaimi memahami apa maksud Tuan Ibrahim. Keutamaan perlu diberi kepada mereka yang taat kepada Allah taala.

Lebai malas nak hujah panjang... Nak tanya Dr. Rozaimi, jika ada 2 orang jatuh serentak dan Dr. Rozaimi boleh tolong seorang sahaja. Siapa yang akan ditolong oleh Dr. Rozaimi yang taat kepada Allah taala atau yang derhaka melawan Allah?

7. Dr. Rozaimi kata ini bukan kefahaman yang dibawa oleh Al Quran dan jauh daripada sunnah al Quran. Dr. Rozaimi ada hujah dan dalil ke? Tolong buat datang mana-mana ayat yang melarang kita mengutamakan orang yang taat kepada Allah kepada orang yang tak taat kepada Allah s.w.t.

8.  Dr. Rozaimi berkata "Ini adalah medan untuk mengcungkil bakat mereka"

Apa yang Dr. Rozaimi merepek ni?
Apa kaitan keutamaan kepada orang yang yang taat kepada Allah dengan mengcungkil bakat?

Adakah esok lebai pergi beli makanan di Bazar Ramadan dengan penjual tak solat atau tak tutup aurat maka lebai pun kata, lebih baik pakai tudung nampak lagi cantik. Maka lebai telah mencungkil bakat penjual tersebut. 

9. Pada minit-minit akhir Dr. Rozaimi membawa hadis manusia seperti logam.
“Manusia seperti logam; terpilihnya semasa jahilliyan; terpilihnya semasa islam; jika mereka ‘faham’.” HR Bukhari - Daripada Abu Hurairah r.a.
Ini memang lebai pening dan nak jatuh tergolek. Apa kaitan manusia hebat zaman jahiliyyah akan hebat zaman Islamnya. Agaknya Dr. Rozaimi Ramle seorang pakar hadis, tahu tak kenapa Nabi s.a.w. berkata demikian? (asbabun nuzul hadis).

Adakah semua penjual yang tak tutup aurat dan tak solat itu logam baik dan terpilih? Sepatutnya Dr. Rozaimi lebih memahami maksud hadis tersebut "JIKA MEREKA FAHAM".

10.  Dr. Rozaimi ada berkata "Bila masuk Islam Bila Mereka Faham"
Tahu tak Dr. Rozaimi bahawa mereka yang Islam tetapi tak tutup aurat dan tak solat itu TAK FAHAM. Kalau tak faham logam hebat mana pun tak ada gunanya, itu maksud hadis wahai pakar hadis dan pentaksudnya.

Akhir
Dulu lebai adalah sikit... suka juga dengan kuliah Dr. Rozaimi Ramle kerana cara pengajarannya dan penyampaian agak baik. Tapi setelah mendengar beberapa kuliah dia menyalah orang itu dan orang ini. Selalu membuat polimik perkara-perkara yang telah lama dibahaskan. Kuliah-kuliah yang penuh dengan mengkritik orang lain adalah bukan kuliah pengajian baik untuk kita jadi WARAK. Akhirnya lebai sudah 'skip' Dr. Rozaimi dalam senarai kuliah lebai kerana ada perpatah mengatakan "hati mati tidak boleh menghidupkan hati-hati mati yang lain".

Bila dia kritik Tuan Ibrahim atas kenyataan TITM berpesan-pesan agar kita bersifat lebih berhati-hati dalam menunaikan ibadat puasa dalam pembelian makanan terutamanya dengan penjual yang tak taat kepada Allah s.w.t. dengan emosi, prasangka buruk dan tidak menjurus perbahasan ilmiah sehingga dilihat seolah-olah untuk menghentam Tuan Ibrahim Tuan Man dengan lebel "ustaz parti Islam yang berlabel parti agama" dia sebenarnya menjatuhkan martabatnya sebagai pakar hadis.



Kemuliaan seseorang berilmu itu terletak dengan sikap tawadhuknya, sikap rendah diri dan berlapang dada sesama orang-orang berilmu. Contohilah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah dalam sikapnya bila dia dituduh menyeleweng.

Ini tidak perkara yang kecil pun nak dibesarkan dan nak diaibkan, kononnya semua orang tak betul yang betul kita sahaja. Kita sahaja pandai dan kita sahaja tahu hadis.



Haji Hassan Omar
http://hajihassanomar.blogspot.com
Disqus Comments